Kamis, 10 Februari 2011

Bintang

Tahukah anda, bintang – seperti Matahari kita juga – merupakan satu bebola gas besar yang bersinar. Sesetengah bintang adalah lebih besar, tetapi kebanyakannya adalah lebih kecil daripada Matahari yang berjisim 332 830 kali lebih besar dari Bumi.

Pada permulaan kehidupan bintang, mereka mengandungi 2/3 hidrogen dan 1/3 helium. Unsur yang lebih berat pula tidaklah melebihi satu peratus pun. Ketika bintang dilahirkan, segumpalan awan gas yang besar meruntuh ke pusatnya hinggakan menyebabkan tekanan dan suhu mencukupi untuk memulakan proses pelakuran nuklear. Awan itu akan mula bersinar, pada mulanya disebabkan oleh pembebasan tenaga kegravitian bebas, kemudian disebabkan oleh pelakuran nuklear itu. Lalu, terlahirlah sebuah bintang. Di terasnya, bintang kini melakur pada beberapa juta darjah yang menukarkan hidrogen kepada helium. Ia merupakan bahagian yang paling lama dalam seluruh kehidupannya lalu menjadikannya bintang jujukan utama. Bintang yang lebih berjisim mempunyai lebih banyak bahan api untuk dibakar tetapi ia membakar lebih cepat, sebenarnya, berbanding bintang yang lebih kecil. Ia menjadikannya lebih berkilau.

Jika bagi bintang yang lebih kecil, hidrogen di pusatnya akan habis dibakar dan tidak boleh melakur lagi. Apabila ini berlaku, bintang-bintang ini akan menjadi sejuk dan malap.

Bintang yang lebih besar pula meneruskan melakur di lapisan luar walaupun bahagian dalam sudah habis melakurkan hidrogen. Pembakaran di bahagian luar akan menanggalkannya dari pusat lalu mengembang ke ruang angkasa. Ini menyebabkan bintang lebih besar dan kecerahannya pun meningkat. Pada tahap ini, ia sudah meninggalkan fasa jujukan utama memandangkan sebuah gergasi merah kini terbentuk.

Perkara ini akan berlaku bagi semua bintang hinggalah yang berjisim tiga kali Matahari (kecuali yang terlalu kecil). Lapisan luar itu akgirnya betul-betul hanyut dan dari situ kita mampu melihatnya melalui teleskop sebagai nebula planet (nebula yang mengelilingi bekas bintang). Terasnya pula tertinggal dan tidak aktif lagi lalu menjadi kerdil putih dengan saiz lebih kurang Bumi cuma lebih berjisim lagi, yang mula malap secara perlahan-lahan.
Matahari yang mempunyai jisim tiga hingga lapan kali jisim suria juga akan mengalami keadaan yang sama, kecuali bahagian terasnya akan terus melakur hingga mendapat karbon, oksigen, nitrogen dan neon.

Bagi bintang besar yang berjisim 8 – 10 kali, pelakuran untuk menghasilkan unsur berat akan terus berlaku hinggalah terbentuknya besi. Bintang ini akan mengembang dan mengembang tanpa henti. Secara tiba-tiba, ia akan bergegar dan meletup. Fasa akhir ini adalah lebih sekejap berbanding fasa ketika di jujukan utama.

Apabila bintang telah membuat teras besi, ia sebenarnya sudah ke penghujung kerana ia tidak boleh menghasilkan tenaga lagi untuk melakurkan besi. Teras itu kini adalah lebih 1.44 jisim suria dan akan mula menyejuk lalu tidak mampu menguruskan gravitinya lagi. Lalu, ia meruntuh menjadi bintang neutron yang hanya berdiameter satu kilometer ataupun menjadi lohong hitam. Bahagian luarnya pula melakur dengan pantas lalu menyebabkan letupan supernova. Hanya beberapa bintang sahaja yang mempunyai jisim yang diperlukan untuk membentuk supernova. Ketika letupan, bintang itu akan bersinar buat beberapa hari dengan kecerahan berbilion kali ganda dan meninggalkan nebula serta titik kecil di pusatnya, sama ada bintang neutron ataupun lohong hitam.

Bintang adalah sangat jarang untuk muncul secara tunggal tanpa temannya. Ini disebabkan oleh awan yang membentuk bintang berputar dengan perlahan. Apabila ia mengecil, putaran itu akan menjadi lebih cepat (kesan putaran hujung atau pirouette) dan sesebuah bintang itu tidak mampu menangani momentum sudut itu. Lalu, ia akan membentuk banyak bintang atau satu bintang bersama planet di sisinya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar